LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Saturday 31 January 2015

KEDAH TERIMA RM10 JUTA




Langkawi: Skuad Kedah di bawah kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe perlu tampil lebih garang pada aksi Liga Malaysia musim ini bagi kembali bersaing dalam kancah Liga Super tahun depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berikutan itu kerajaan negeri akan memberi sokongan padu termasuk aspek kewangan bagi memastikan tumpuan pasukan terhadap kempen musim ini tidak terjejas.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta di samping turut mendapatkan beberapa penaja lain dalam usaha memastikan pasukan Kedah yang beraksi dalam Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia bebas daripada masalah.

“Sasaran musim ini meletakkan kembali Kedah dalam saingan Liga Super,” katanya yang juga Menteri Besar selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu skuad itu, malam kelmarin.

Selain kerajaan negeri selaku penaja utama, Mukhriz turut mengumumkan barisan penaja baru yang membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Kumpulan Naza, THB Management dan Warrix.

Majlis sama turut menyaksikan kembalinya pemain seperti Sabree Mat Abu, Solihin Kanasian Abdullah (K Soley) dan Ahmad Shakir Ali serta kekalnya tonggak pasukan Baddrol Bakhtiar dalam skuad itu.

Tiga pemain import yang pertama kali menyarung jersi skuad itu membabitkan Lawrence Omondi Olum dari Kenya, Seung Hwan Bang (Korea Selatan), Keith M Nah (Liberia) dan Chidi Edeh (Nigeria).

Skuad Helang Merah turut mengekalkan Khairul Helmi Johari yang lebih mesra dipanggil Kay On selaku ketua pasukan untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

CHENG HOE GUSAR

BERAKHIR 13 Perlawanan persahabatan yang diatur sejak dua bulan lalu memberi keyakinan kepada ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe bahawa pasukannya sudah bersedia untuk mencabar Liga Premier musim bagi merebut slot Liga Super 2016.

Bagaimanapun jumlah bolos yang besar (19 gol ) tetap jadi kerisauan pengendali itu walaupun Kedah berjaya menjaringkan 30 gol dan beliau akan menggunakan tempoh masa yang ada untuk memberi perhatian kepada kerapuhan benteng Lang Merah.

Boleh dikatakan setiap perlawanan pramusim Kedah bolos mencerminkan bahawa masalah ini bagaikan berulang saban musim dan sesuatu perlu dilakukan terutamanya membabitkan pemain di bahagian pertahanan dan penjaga gol.

Petanda positif
Namun kemenangan mengatasi pasukan Liga Super Kelantan 3-1 dengan percubaan meletakkan pemain import Korea Selatan, Bang Seung Hwan bergandingan dengan ketua pasukan, Khairul Helmi Johari di pertahanan tengah dilihat positif.

Manakala prestasi dua lagi pertahanan iaitu P Rajes dan Sabree Abu turut menyakinkan malah kepantasan dimiliki mereka juga berjaya membantu bahagian serangan apabila serangan balas dilakukan ke kubu lawan.

“Pada perlawanan menentang Kelantan, kita tetap bolos walaupun menang dan kami akan cuba perbaiki dalam tempoh yang ada ini sebelum saingan Liga Premier membuka tirai 6 Februari nanti.

“Saya tetap positif dengan setiap pemain malah mereka mempamerkan peningkatan sejak berlatih bersama-sama sejak dua bulan lalu,” kata Cheng Hoe.

Kian bernafsu
Di bahagian serangan pula, dua penyerang import iaitu Keith M Nah berjaya merekodkan tujuh gol manakala Chidi Edeh meledakkan lima gol bagi aksi persahabatan untuk menggambarkan bahawa bahagian hadapan Lang Merah semakin tajam.

Manakala seorang lagi import, Lawrence Olum yang diuji di posisi tengah mempamerkan karakter berbeza dan bebas merencanakan taktikal bersama perancang muda, Hanif Dzahir berbanding peranannya sebagai pertahanan tengah sebelum ini.

Posisi Olum yang berada di tengah menyaksikan bekas ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar kembali memperoleh posisi kegemarannya iaitu sebagai pemain sayap manakala satu lagi posisi sayap diisi pemain muda Muhamad Farhan Roslan.

Turun naik

Bagaimanapun, Cheng Hoe berkata posisi setiap pemain akan berubah-rubah dan bergantung kepada prestasi semasa latihan dan juga perlawanan sebenar.

Menurutnya, tiada istilah pemain bintang di dalam skuadnya, semua pemain adalah sama dan hanya yang betul-betul bersedia dan menunjukkan disiplin tinggi sahaja disenaraikan di dalam kesebelasan utama.

“Walaupun seseorang pemain itu berjaya menjaringkan hatrik sekalipun jika pasukan tewas 4-3 tidak ada gunanya. Paling penting adalah kejayaan pasukan bukan individu,” katanya.

Wednesday 28 January 2015

FARHAN PUAS HATI





       Alor Setar: “Saya puas hati kerana dapat menjaringkan salah satu daripada tiga gol ketika bertemu Kelantan,” kata penyerang muda Kedah, Muhammad Farhan Roslan (gambar).

“Justeru, saya harap mendapat kepercayaan berada dalam kesebelasan utama skuad Kedah.

“Biarpun sedar masih banyak yang perlu dipelajari saya mahu menjadi sebahagian daripada kebangkitan Kedah musim ini,” katanya yang menjaringkan gol itu ketika menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Darul Aman dalam aksi persahabatan.

Menyedari perebutan untuk berada dalam kesebelasan utama sengit, Farhan berjanji akan berusaha mendapat kepercayaan ketua jurulatih Tang Cheng Hoe.

Skuad Helang Merah jelas berwajah baru dengan kehadiran empat tonggak import Bang Seong Hwan, Lawrence Olum, Chidi Edeh dan Keith M Nah yang nampak lebih meyakinkan untuk memburu slot Liga Super musim depan.

Selepas melalui 12 perlawanan ujian, Kedah dilihat sudah bersedia untuk memulakan saingan Liga Perdana.

“Saya harap kami akan dapat meneruskan prestasi cemerlang ini,” kata Farhan merujuk kepada aksi pertama berdepan SPA KL pada perlawanan pembuka tirai 6 Februari.

-Oleh Bashah Zainol Abidin-

Tuesday 27 January 2015

GALERI FOTO PERLAWANAN PRA MUSIM 2015 KEDAH V KELANTAN

          Pasukan Kedah mengakhiri siri perlawanan Pra musim 2015 semalam dengan menewaskan pasukan daripada gergasi Pantai Timur iaitu Pasukan Kelantan atau lebih dikenali dengan gelaran "The Red warriors" dengan jaringan 3-1. Dengan kehadiran lebih kurang 10000 penyokong Kedah semalam di Stadium Darulaman sedikit sebanyak memberi semangat kepada pemain untuk beraksi dengan lebih baik. Perlawanan semalam turut dihadiri oleh Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa dan Setiausaha Kehormat KFA, YB En. Aminuddin Omar. Sebelum sepakmula perlawanan, satu sesi penyampaian cek bantuan bencana banjir Kelantan disampaikan oleh KFA kepada KAFA dengan nilai RM10,000.00.
       
         Gol Kedah dijaringkan seawal minit Ke-2 apabila kesilapan pertahanan Kelantan dapat dihidu penyerang Kedah Chidi Edez. Namun selepas 7 minit jaringan Chidi edez pasukan Kelantan menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik daripada Erwin Albeiro pada minit-9.
       
        Bersambung separuh masa kedua Farhan Roslan bijak mencari peluang untuk menjaringkan gol ke 2 Kedah pada minit-60 apabila berlaku kecuaian penjaga gol Kelantan. Manakala gol ke 3 Kedah hadir pada minit ke-78 menerusi tandukan cantik daripada Shakir Ali. Pasukan Kedah bakal membuka tirai Liga Premier 2015 dengan menentang KL SPA Putrajaya FC pada 6 Februari ini di Stadium Darul Aman.

Berikut merupakan foto perlawanan semalam. 
Sumber gambar kredit FB page rasmi: Persatuan Bolasepak Kedah - KFA -














Saturday 24 January 2015

CHENG HOE TIDAK PANIK





Alor Setar: “Saya tidak panik ataupun gusar walaupun Kedah tewas 4-1 di tangan Sime Darby FC pada perlawanan semalam (kelmarin) kerana saya yakin kemampuan dan keupayaan sebenar barisan pemain saya,” kata ketua jurulatih Helang Merah Tan Cheng Hoe.

Menurutnya, perlawanan itu tidak dikuasai sepenuhnya Sime Darby, malah anak buahnya turut mencipta banyak peluang menjaringkan gol cuma ketumpulan barisan serangan mengakibatkan mereka terpaksa berputih mata.

“Pemain sebenarnya keletihan kerana sehari sebelum bertemu Sime Darby FC, kami menentang Harimau Muda di Padang FAM, Kelana Jaya. Bagaimanapun, saya tetap gembira apabila Chidi Edeh tetap berjaya merobek gawang Sime Darby.

“Kita terlepas peluang menghasilkan gol pada babak pertama apabila tendangan penalti diambil Baddrul Bakhtiar melewati palang dan siapa yang menyaksikan perlawanan itu pasti dapat menilai kemampuan sebenar Kedah.

“Saya rasa Chidi yang baru pulang dari Kenya belum memulihkan tahap kecergasan selepas hanya menjalani latihan empat hari sebelum kami bertolak ke Kuala Lumpur dan dia pasti dapat beraksi dengan kemampuan sebenar ketika Liga Perdana bermula, 5 Februari,” katanya.

Beliau berkata, hanya tinggal satu perlawanan ujian, menentang Kelantan pada 26 Januari dan ia peluang terakhir buat anak buahnya membuktikan keupayaan, sekali gus disenaraikan dalam kesebelasan utama Helang Merah.

Kedah akan menyingkap tirai Liga Perdana 2015 dengan menentang SPA KL di Stadium Darulaman, 6 Februari.

“Perebutan tempat dalam kesebelasan utama memang sengit kerana barisan pemain muda sudah mula menampakkan peningkatan.

“Pemain muda seperti Muhammad Farhan Roslan, Syazwan Tajuddin, Mohd Rizal Ghazali, Syazwan Abdullah, Muhd Syafiq Ahmad dan Mohd Hanif Mat Zahir sudah mula menampakkan peningkatan dan kini berada dalam kesebelasan utama ketika beberapa perlawanan ujian lalu.

“Tidak ada pemain boleh menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama walaupun mungkin mempunyai nama besar atau sudah lama beraksi bersama Kedah. Saya hanya akan memberi laluan buat pemain yang benar-benar layak,” katanya.

Cheng Hoe bersama penolong Ian Gillan serta Nidzam Adzha Yusoff sudah mengenal pasti kemampuan dan keupayaan semua 23 pemain yang sudah didaftarkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pemain Kedah musim 2015.

Friday 23 January 2015

KJ ANGGAP SISTEM HARIMAU MUDA SUDAH TIDAK 'KENA'





MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membubarkan sistem pasukan Harimau Muda.

Khairy berkata persatuan bola sepak negeri secara hakikinya perlu diberi tanggungjawab dalam menggilap potensi pemain dan pembangunan bola sepak di negeri masing-masing.

Beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM itu berkata sistem Harimau Muda itu tidak sesuai diteruskan lagi untuk perancangan jangka masa panjang.

"Apabila saya mulakan Harimau Muda semasa saya menjadi Timbalan Presiden FAM, hasrat saya ketika itu adalah untuk membangunkan satu pasukan junior tetapi bukan untuk perancangan jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata cara yang terbaik adalah menghantar pemain-pemain muda ini bermain dengan negeri masing-masing dan biarkan persatuan negeri bertanggungjawab dalam menggilap pemain mereka.

"Liga Malaysia semakin baik. Kalau kita lihat ramai pihak swasta mahu menaja pasukan negeri, walaupun ramai pihak mempertikaikan tentang kualiti pemain saya rasa kualiti pemain kita semakin baik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pengumuman laluan perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015.

Khairy berkata semua pihak perlu memberikan kepercayaan kepada persatuan bola sepak negeri untuk membangunkan pemain-pemain mereka sebelum dipilih menyertai skuad kebangsaan. - Bernama

FAM CADANG HUKUMAN LEBIH BERAT







PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemain yang menandatangani dua kontrak dalam satu-satu masa, bagi mengelakkan insiden membabitkan bekas pemain Harimau Muda A, Gary Steven Robbat berulang pada masa depan.

Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah ia termasuk menggantung pemain yang terlibat daripada bermain selama satu musim.

"Pemain bola sepak mestilah bertanggungjawab dan menghormati kontrak yang ditandatangani, jangan berdolak-dalik," titah baginda dalam sidang media pada program Gotong-Royong Diraja Membaiki Rumah-Rumah Rakyat Daerah Maran dan Bera di sini, hari ini.

Tengku Abdullah juga menasihatkan semua pemain bola sepak, termasuk mereka yang berhasrat menjadi pemain profesional supaya mengambil iktibar daripada insiden membabitkan Gary.

Kontroversi membabitkan Gary bermula selepas dia menandatangani kontrak bersama Pahang sebelum membuat keputusan untuk menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut menuntut khidmat pemain tengah kebangsaan terbabit dengan alasan Gary yang berasal dari Kulim, Kedah itu perlu menyertai pasukan negeri kelahirannya selepas tidak lagi mewakili Harimau Muda.

Akibat tindakannya itu, Gary digantung tiga bulan daripada menyertai apa sahaja kejohanan di bawah FAM berkuat kuasa serta merta dan didenda RM50,000 kerana tindakannya yang bercanggah dengan Artikel 17- Peraturan Status dan Perpindahan. - Bernama

GALERI FOTO : PRA MUSIM 2015 KL SIME DARBY v KEDAH

       Jelajah Lembah Klang Pra musim 2015 bagi pasukan Kedah diteruskan dengan perlawanan seterusnya iaitu menentang KL Sime Darby. Perlawanan yang ditunggu tunggu oleh warga Kedah yang berada di perantauan pastinya sudah tidak sabar mahu menyaksikan kelibat pemain-pemain baru Kedah terutamanya pemain-pemain import. Dalam perlawanan itu Kedah menurunkan kesemua import mereka dan beberapa pemain utama kecuali ketua pasukan Khairul Helmi Johari sebelum melakukan beberapa pertukaran bagi menguji posisi pemain.Walaupun tewas 1-4 namun corak kawalan bola lebih baik dapat ditunjukkan oleh anak-anak buah Tan Cheng Hoe. Keputusannya KL Sime Darby 4-1 Kedah. Gol Kedah dijaringkan oleh Chidi Edez minit ke-60.

Berikut merupakan gambar-gambar aksi perlawanan tersebut
sumber gambar dari FB page rasmi : Persatuan Bolasepak Kedah - KFA -









Tuesday 20 January 2015

GALERI FOTO PERLAWANAN PRA MUSIM 2015 HARIMAU MUDA V KEDAH

           Perlawanan Pra musim 2015 bagi skuad Helang Merah kali ini diteruskan di
 Lembah Klang pula selepas pulang dari jelajah Thailand minggu lalu.Pada perlawanan semalam pasukan Kedah telah menentang pasukan  Harimau Muda yang menyaksikan kesemua pemain import diturunkan oleh Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe. Keputusannya Harimau Muda 1-1 Kedah. Gol Kedah dijaringkan oleh Shazuan Ashraf minit ke-70.

Berikut gambar-gambar aksi semalam..
sumber gambar dari FB page rasmi KFA Persatuan Bolasepak Kedah -KFA-

















KFA TIDAK AKAN MERAYU KES GARY



      

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tidak akan merayu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes Gary Steven Robbat, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Ini kerana menurut KFA, mereka percaya FAM tidak akan melakukan perubahan andai rayuan dikemukakan.

Setiausaha Kehormat KFA, Aminuddin Omar berkata, peluang untuk keputusan itu berubah dan memihak kepada KFA adalah sangat tipis.

Katanya, Kedah menuntut satu perubahan dilakukan ke atas pengurusan tertinggi bola sepak negara itu demi kebaikan sukan berkenaan pada masa hadapan.

“Saya sangat berharap FAM untuk (lebih berhati-hati) elak benda ini berulang pada masa hadapan dan berharap kepimpinan melakukan transformasi lebih baik dalam persatuan itu.

“Jika benda ini berlarutan pada masa hadapan, saya percaya pembangunan sukan ini untuk negara tidak akan ke mana-mana,” katanya kepada media, semalam.

Kelmarin, Aminuddin berkata, mereka tetap terkilan apabila Gary dikatakan milik FAM dan Kedah tidak mempunyai hak ke atas pemain kelahiran Kulim itu.

Monday 19 January 2015

PIALA PRESIDEN KEDAH ATUR PERSEDIAAN RAPI

SKUAD PIALA PRESIDEN KEDAH 2015

PASUKAN Piala Presiden Kedah melaungkan amaran awal kepada pencabar-pencabar dalam saingan Liga Presiden bahawa mereka hadir dengan persiapan cukup rapi pada saingan musim ini.

Tidak sekadar bercakap kosong semata-mata, pengurus pasukan, Anas Hafiz Mustaffa mengakui persiapan pra-musim 2015 mereka dilihat lebih teratur berbanding musim lalu malah kemasukan beberapa pemain baru turut meyakinkan.

Meletakkan sasaran untuk meraih trofi, keupayaan pelapis muda Lang Merah ini akan lebih terserlah selepas rata-rata pemain mempunyai kemahiran dan kualiti yang hampir sama.

Kriteria ketat

Jelas Anas Hafiz, mereka meletakkan kriteria yang cukup ketat pada sesi pemilihan lalu dan saiz badan serta kemahiran individu tinggi menjadi faktor utama kali ini.

“Kami kena kerja lebih keras kerana empat pemain utama iaitu Syafiq Ahmad, Syazwan Tajudin, Farhan Roslan, Hanif Dzahir kini mewakili pasukan senior Kedah. Kita perlu cari pemain yang mempunyai kualiti yang setara dengan mereka dan Alhamdulilah penggantinya dapat dicari.

“Tahun ini kalau boleh kami cuba usaha bawa balik satu piala ke Alor Setar sama ada dari pasukan Piala Presiden ataupun Piala Belia,” katanya kepada Ultras Sinar.

KFA ketengah bakat muda

Berjaya menjalinkan kerjasama dengan kelab Perth Glory, Australia dan kelab Songkla United, Thailand, mereka terus mengorak langkah dengan menghantar empat lagi pemain muda ke kelab bola sepak Liga Inggeris, Cardiff City di Wales.

Anas Hafiz berkata, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan terus mengetengahkan bakat-bakat muda dengan pendedahan di peringkat antarabangsa malah usaha untuk mengadakan kerjasama dengan kelab lain dan kini perkara tersebut berada dalam perancangan.

“Kami bukan sahaja menghantar pemain tetapi turut memberi ruang kepada jurulatih kita untuk terus mempelajari ilmu bola sepak di luar negara dan penolong jurulatih Piala Presiden Kedah, Victor Andrag akan bersama empat pemain ini selama sebulan di Cardiff City,”
katanya.

Pasukan kendalian bekas pertahanan Kedah, Mohamad Ramlee ini pada musim lalu berjaya mara ke peringkat suku akhir walaupun menggunakan kudrat pemain simpanan selepas beberapa pemain utama mereka dipanggil untuk memperkuatkan pasukan utama bagi
mengharungi kempen Liga Premier 2014.

Saturday 17 January 2015

KFA KECEWA KEPUTUSAN FAM DALAM ISU GARY

PRESIDEN KFA : DATO SERI MUKHRIZ MAHATHIR


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) amat kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di dalam isu status pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden KFA, persatuan negeri hanya mempertahankan peraturan yang dibuat oleh FAM iaitu pemain Harimau Muda perlu kembali ke negeri terlebih dahulu.

"Kita amat kecewa dengan keputusan FAM kerana kita hanya mempertahankan peraturan yang dibuat sendiri oleh persatuan bolasepak negara yang menghendaki pemain Harimau Muda yang tamat kontrak supaya kembali ke negeri masing-masing," katanya di Alor Setar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan bencana banjir sebanyak RM300,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang juga pengerusi MAIWP serta 100 kotak sabun pencuci daripada Muslimah Manufacturing Sdn Bhd di sini, malam ini.

Mukhriz berkata, keputusan FAM mengisytiharkan Gary yang berasal daripada Kulim sebagai ejen bebas selepas tempoh penggantungan tiga bulannya tamat seolah-olah menidakkan tugas KFA di dalam menggilap potensi pemain Harimau Muda itu.

FAM yang bermesyuarat hari ini menggantung Gary selama tiga bulan berkuatkuasa hari ini dan mengenakan denda sebanyak RM50,000, selain mengisytiharkan pemain itu sebagai milik Harimau Muda C di bawah FAM dan bukan Kedah.

"Keputusan FAM itu seolah-olah menunjukkan kita tidak ada jasa langsung di dalam karier Gary," katanya sambil menambah, potensi Gary digilap di Kedah terlebih dahulu sebelum beliau diterima masuk ke sekolah sukan di luar negeri ini.

Beliau juga berkata, keputusan FAM mengenai isu Gary itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap negeri-negeri yang memiliki pemain dengan pasukan kebangsaan sama ada mereka perlu melepaskan mereka untuk tugas-tugas kebangsaan.

Apa yang perlu selepas ini katanya, pemain-pemain negeri yang dikehendaki berkhidmat dengan pasukan kebangsaan diikat dengan perjanjian yang ketat dengan FAM bagi memastikan pemain itu kembali ke negeri asal selepas tamat khidmat mereka dengan pasukan kebangsaan.

"Mereka (pemain-pemain negeri) perlu mempunyai perjanjian," katanya tentang kedudukan dua pemain Kedah, Farhan Roslan dan Shazwan Tajuddin yang dipanggil oleh FAM untuk menjalani latihan dengan pasukan kebangsaan.

Mukhriz juga menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan mendadak gaji pemain-pemain setiap tahun yang akan membebankan persatuan negeri yang tidak mempunyai sumber dana yang besar seperti Kedah dan mahukan perkara itu dikawal.

Katanya, terdapat kemungkinan bolasepak di negara hanya dikuasai oleh beberapa negeri yang kaya dan mempunyai pelbagai sumber kewangan. - Bernama

GARY DIGANTUNG TIGA BULAN,DENDA RM50,000





KEMELUT perebutan tiga penjuru bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat, yang melibatkan pasukan Kedah, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang berakhir selepas pemain berusia 22 tahun itu digantung tiga bulan dan denda RM50,000.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan bahawa pemain berasal dari Kulim, Kedah itu bersalah kerana melanggar peraturan FAM mengenai perpindahan pemain.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Gary didapati bersalah kerana menandatangani kontrak secara tidak sah bersama JDT pada 21 November 2014 sebelum menerima surat pelepasan daripada FAM terlebih dahulu yang dikeluarkan pada 1 Disember 2014.

"Mulai hari ini Gary tidak dibenarkan menyertai sebarang kejohanan dalam saingan Liga Malaysia dan semua kontrak bersama pasukan JDT dan Pahang yang telah ditandatanganinya sebelum ini terbatal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM dekat sini.

Beliau berkata, FAM juga memutuskan bahawa Gary tidak terikat kepada mana-mana pasukan dan beliau diberikan status 'Ejen Bebas' walaupun pemain tengah itu berasal dari Kedah.

Menjelaskan perkara tersebut, Takiyuddin berkata mengikut ketetapan FAM sebelum ini bekas pemain Harimau Muda perlu kembali kepada pasukan asal mereka.

"Kami terpaksa mengambil masa yang lama dalam menentukan status Gary namun setelah membuat penelitian berdasarkan peraturan FAM, Gary bukan milik pasukan Kedah sebaliknya milik Harimau Muda C dan perlu dikembalikan kepada pasukan tersebut," katanya.

Beliau berkata, sebarang rundingan daripada mana-mana pasukan untuk mendapatkan Gary hanya boleh dilakukan selepas tamat tempoh penggantungan selama tiga bulan yang berkuat kuasa hari ini.

Selain Gary, Takiyuddin berkata, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) juga dikenakan denda RM100,000 kerana kecuaian dalam urusan perpindahan pemain namun pasukan Pahang hanya diberikan amaran.

Di samping Gary, PNBJ turut diberi amaran keras kerana telah menimbulkan kecuaian pendaftaran pemain Mohd Faizul Hussin yang tidak wajar berlaku kerana pemain itu masih terikat kontrak dengan Pahang.

"Dalam kesalahan ini sebagai ganti rugi, Mohd Faizul perlu membayar tebus kontrak mengikut gaji bulanannya sebanyak RM10,000 selama 12 bulan (RM120,000) kepada bekas majikannya iaitu pasukan Pahang.

"Memandangkan Mohd Faizul telah dibayar gaji sebanyak RM10,000 pada bulan Disember maka beliau perlu kembalikan bayaran gaji tersebut kepada majikannya...jadi jumlah keseluruhan yang harus dilunaskan kepada Pahang ialah RM130,000," katanya. - Bernama

GAMBAR PRA MUSIM 2015: JELAJAH THAILAND

8 JANUARI 2015
SONGHKLA UNITED FC 2-4 KEDAH
*GOL OLEH BANG SEUNG HWAN, SHAKIR ALI (2GOL) DAN SHAZUAN


9 JANUARI 2015
CHONBURI FC 1-0 KEDAH


13 JANUARI 2015
AIR FORCE UNITED FC  2-2 KEDAH
*GOL OLEH HANIF DAN BADROL






































SUMBER GAMBAR DARI FB PAGE:PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH