LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Monday 16 February 2015

SEDAR DIRI PEMAIN MUDA

Dato' Othman Aziz (Naib Presiden KFA)
Kuala Lumpur: “Saya nasihatkan pemain muda supaya sedar dan insaf kerana tanpa pembabitan pasukan negeri, mereka tidak akan ke mana,” tegas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Othman Aziz yang mahu pemain Harimau Muda mematuhi pindaan peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mewajibkan pemain yang tamat kontrak kembali ke negeri asal sekurang-kurangnya semusim.

Katanya, peraturan itu melindungi kepentingan pasukan negeri ‘kerdil’ yang mempunyai hak ke atas pemain hasil daripada pembangunan di peringkat akar umbi sebelum menyertai Harimau Muda.

“Saya melihat peraturan ini adil kepada pasukan negeri kerdil, kurang kemampuan dari segi wang ringgit. Hak pasukan negeri ke atas pemain itu kali ini lebih jelas dan tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya.

“Kita kena tahu, program di peringkat akar umbi di sekolah juga gabungan bersama pihak persatuan negeri. Sebelum mereka ke Sekolah Sukan Bukit Jalil atau sekolah sukan lain, siapa yang gilap bakat mereka?

“Tanpa latihan serta usaha pencari bakat di peringkat ini, mereka tidak akan mendapat perhatian pihak luar.

“Tidak wajar peranan di peringkat bawah ini tidak diiktiraf dan pemain perlu insaf, tanpa persatuan negeri, mereka tidak ke mana,” kata Othman ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Peraturan baru perpindahan pemain Harimau Muda yang diwajibkan kembali ke pasukan negeri asal minimum semusim mula berkuat kuasa musim ini oleh FAM selepas berlakunya kontroversi perebutan pemain antara beberapa pasukan negeri.

Jika sebelum ini badan induk itu merujuk kepada tempat lahir pemain sebagai pasukan negeri asal, kini definisi itu diubah dengan pasukan terakhir diwakili pemain itu sebelum menyertai Harimau Muda mempunyai hak sepenuhnya.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik langkah terbaru FAM itu, namun dalam laporan Arena Metro semalam, pemain dan bekas pemain Harimau Muda mahu hak memilih pasukan selepas tamat kontrak dengan FAM diberikan sepenuhnya kepada mereka.

Ini kerana mereka bimbang peluang untuk mengembangkan karier ke tahap lebih baik terjejas serta tidak mendapat tawaran gaji yang baik dari pasukan negeri asal.

“Sudah pasti ada klausa dalam menetapkan gaji minimum kepada pemain Harimau Muda. Contohnya jika gaji mereka sekarang RM3,000, pasukan negeri wajib untuk memberi tambahan 30 peratus kepada pemain itu.

“Ini hanya untuk tempoh semusim, jika pemain mahu pindah ke pasukan lain selepas itu, mereka boleh pergi, tiada halangan,” kata Othman.

Monday 9 February 2015

HELANG MERAH KEKAL FOKUS

                                                

Alor Setar: Kemenangan besar skuad Helang Merah pada aksi pertama Liga Perdana tidak akan membuatkan pemain terlalu yakin berdepan Kuantan FA di Stadium Darul Makmur Jumaat ini.

Sebaliknya menurut penolong jurulatih, Nidzam Adha Yusoff pemain Kedah akan tetap fokus dan konsisten dalam aksi mereka nanti.

“Kemenangan 5-1 ke atas KL SPA Putra Jaya sememangnya mengejutkan saya kerana tidak sangka jumlah gol dijaringkan.

“Biarpun gembira dengan kemenangan pertama ini, saya berharap pemain kekal fokus menghadapi Kuantan FA, tambah lagi beraksi di gelanggang mereka sendiri,” katanya.

Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan belum dapat mengesahkan kecederaan tonggak pertahanan Bang Seung Hwan, tetapi berharap pemain Korea itu dapat diturunkan di Kuantan nanti.

“Keadaan Seung Hwan akan diketahui Khamis ini. Jika keadaan memaksa dia direhatkan lagi, Syazwan yang beraksi cemerlang menggantikannya akan diturunkan lagi.

“Saya cukup puas hati dengan prestasi serta komitmen pemain kerana menunaikan harapan kemenangan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe yang kini berada di Ghuangzhou, China, menjalani kursus kejurulatihan peringkat tertinggi.

“Bagaimanapun saya akan pastikan kelemahan jentera tengah diatasi selepas lawan berjaya menembusi bahagian ini untuk menekan pertahanan Kedah,” katanya.

Bercakap mengenai Kuantan FA, beliau berkata, pasukan itu akan cuba bangkit mencatat kemenangan di gelanggang sendiri selepas tewas 0-1 kepada Pulau Pinang pada perlawanan pertama.

“Mereka pasti akan memburu kemenangan dan saya percaya barisan Kedah akan menampilkan aksi lebih mantap nanti,” tegasnya

Oleh Bashah Zainol Abidin

Sunday 8 February 2015

DUA GOL KEITH UNTUK KEDAH




PENYERANG Liberia berusia 20 tahun, Keith M Nah masih belum puas hati dengan prestasinya walaupun berjaya meledak dua gol untuk membantu Kedah menewaskan KL Spa Putrajaya FC 5-1 di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit pada minit ke-48 dan ke-50 meletakkan pemain muda bawah 21 tahun negaranya itu sebagai antara penyerang import yang mampu merebut sasaran kasut emas untuk Liga Perdana 2015.

Tiga lagi gol dijaringkan Mohd Hanif Dzahir pada minit ke-24, Baddrol Bakhtiar (m-61) dan Chidi Edeh (m-90).

Menurutnya, dia percaya saingan lebih sengit akan hadir selepas ini namun tiga mata yang diraih pada perlawanan pertama berjaya meletakkan Lang Merah pada tahap motivasi tinggi.

“Dua gol yang dijaringkan saya adalah untuk Kedah, hasil kerjasama satu pasukan dan paling penting adalah meraih tiga mata.

“Saya fikir ini adalah satu permulaan baik, ini bukan kerana individu tetapi kerana pasukan yang saya lihat ada kerjasama tinggi di dalamnya. Semoga kita akan lebih bersedia pada perlawanan akan datang,” katanya.

Katanya, dia masih mempelajari dan memahami tentang Liga Malaysia serta mahu terus memperbaiki diri sendiri demi memastikan prestasinya tidak turun.

Keith muncul penjaring terbanyak pada 2013 serta muncul kedua terbanyak pada 2014 bersama kelab Chin United di Liga Myanmar.

Pada persediaan pra-musim Liga Malaysia 2015 juga, pemain yang berperwatakan tenang ini sudah mula menunjukkan sentuhan apabila muncul penjaring terbanyak dengan meledakkan tujuh gol buat Lang Merah.

Berikut foto2 aksi Kedah V KL SPA, sumber foto Kredit FB: Arena Hijau Kuning