LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Saturday 18 April 2015

Lang Merah Kembali Ceria



IMPAK dua import baru Kedah, Liridon Krasniqi, 23 dan Sandro da Silva Mendonca, 31 dilihat positif selepas berjaya membantu pasukan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 12 April lalu pada saingan Liga Perdana 2015.

Bergandingan bersama di bahagian tengah sambil merencanakan strategi menyerang kubu lawan, pergerakan Lang Merah dilihat lebih teratur malah strategi dan taktikal yang diatur oleh pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe dapat dilaksanakan baik oleh pemain import Kosovo dan Brazil itu.

Krasniqi terutamanya, watak tenang dibawa oleh pemain tersebut kini menjadi bualan kerana berjaya mengemudi bahagian tengah dengan baik dan keserasian yang dibentuk bersama Mendonca berjaya memudahkan bahagian serangan untuk memburu gol.

Sebelum ini bahagian tengah Lang Merah sedikit kurang ampuh dan tidak kreatif namun kehadiran dua import baru ini telah mencerminkan keupayaan dan motivasi pasukan kembali meningkat selepas menjunam ke tangga kelapan Liga Perdana 2015 sebelum ini.

Terlalu awal untuk memperkatakan perkembangan dua pemain import ini kerana jendela perpindahan kedua April 2015 masih mempunyai tempoh lebih kurang dua minggu lagi untuk memberi peluang kepada setiap pasukan termasuk Kedah menukar pemain mereka.

Sementara itu, Cheng Hoe juga bertambah yakin dengan kelibat Chidi Edeh yang semakin menemui jaringan dan terbaru meledakkan gol seawal minit ketiga untuk membantu Kedah membenam JDT II 2-1.

Jelasnya beliau semakin sukar untuk membuat pilihan malah kehadiran Krasniqi dan Mendonca pada penampilan rasmi mereka juga dipuji walaupun masih ada ruang kesefahaman untuk diperbaiki dan dipertingkatkan lagi.

Bagaimanapun, kelibat dua pemain import Kedah, Keith M Nah dan Lawrence masih ada dan berlatih seperti biasa bersama pasukan kerana khabar angin mengatakan mereka berdua telah pun digugurkan.

Stadium Darul Aman terus sibuk dengan kehadiran pemain import antaranya Rodrigo Da Costa dari Brazil telah bersama pasukan sejak seminggu lepas dan terbaru kehadiran Selim Benachour dari Tunisia dan Gong Young Sun dari Korea Selatan.

Difahamkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hanya akan memuktamadkan masa depan semua importnya pada penghujung April nanti.