LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Saturday, 18 April 2015

Lang Merah Kembali Ceria



IMPAK dua import baru Kedah, Liridon Krasniqi, 23 dan Sandro da Silva Mendonca, 31 dilihat positif selepas berjaya membantu pasukan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 12 April lalu pada saingan Liga Perdana 2015.

Bergandingan bersama di bahagian tengah sambil merencanakan strategi menyerang kubu lawan, pergerakan Lang Merah dilihat lebih teratur malah strategi dan taktikal yang diatur oleh pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe dapat dilaksanakan baik oleh pemain import Kosovo dan Brazil itu.

Krasniqi terutamanya, watak tenang dibawa oleh pemain tersebut kini menjadi bualan kerana berjaya mengemudi bahagian tengah dengan baik dan keserasian yang dibentuk bersama Mendonca berjaya memudahkan bahagian serangan untuk memburu gol.

Sebelum ini bahagian tengah Lang Merah sedikit kurang ampuh dan tidak kreatif namun kehadiran dua import baru ini telah mencerminkan keupayaan dan motivasi pasukan kembali meningkat selepas menjunam ke tangga kelapan Liga Perdana 2015 sebelum ini.

Terlalu awal untuk memperkatakan perkembangan dua pemain import ini kerana jendela perpindahan kedua April 2015 masih mempunyai tempoh lebih kurang dua minggu lagi untuk memberi peluang kepada setiap pasukan termasuk Kedah menukar pemain mereka.

Sementara itu, Cheng Hoe juga bertambah yakin dengan kelibat Chidi Edeh yang semakin menemui jaringan dan terbaru meledakkan gol seawal minit ketiga untuk membantu Kedah membenam JDT II 2-1.

Jelasnya beliau semakin sukar untuk membuat pilihan malah kehadiran Krasniqi dan Mendonca pada penampilan rasmi mereka juga dipuji walaupun masih ada ruang kesefahaman untuk diperbaiki dan dipertingkatkan lagi.

Bagaimanapun, kelibat dua pemain import Kedah, Keith M Nah dan Lawrence masih ada dan berlatih seperti biasa bersama pasukan kerana khabar angin mengatakan mereka berdua telah pun digugurkan.

Stadium Darul Aman terus sibuk dengan kehadiran pemain import antaranya Rodrigo Da Costa dari Brazil telah bersama pasukan sejak seminggu lepas dan terbaru kehadiran Selim Benachour dari Tunisia dan Gong Young Sun dari Korea Selatan.

Difahamkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hanya akan memuktamadkan masa depan semua importnya pada penghujung April nanti.

Saturday, 28 March 2015

Bila Jeffrey Low Letak Jawatan....

Apakah nasib yang akan menimpa team Kedah selepas ini? semoga team Kedah akan lebih berjaya di bawah pengurusan baru nanti. Sama-sama kita nantikan...



Sunday, 1 March 2015

PIALA FA.: KEDAH BERGELUT ATASI HANELANG FC 1-0



KUALA TERENGGANU: Kedah dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Hanelang FC dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang tadi.

Sebaik wisel pertama, pasukan pelawat melancarkan serangan bertubi kali ke kubu tuan rumah, namun penjaga gol Hanelang FC, Muhd Saifuddin Mokhtar bertindak cemerlang menghalang dari gawangnya dibolosi.


Pada minit ke-23, penyerang import, Chidi Edeh hampir meletakkan pasukan di hadapan namun Muhd Saifuddin menepis keluar tandukan pemain itu.

Pasukan tuan rumah yang bermain dalam Liga FAM yang melancarkan serangan ke kubu pelawat hampir menjaringkan gol, namun tendangan Md Hazrul Nizam ditepis keluar penjaga gol, Mohd Firdaus Muhammad minit 28.

Usaha pelawat memecah kebuntuan gol akhirnya terlerai menerusi pemain lincah, Muhd Farhan Roslan hasil hantaran Edeh pada minit ke-35.

Babak kedua bersambung, pasukan Hanelang FC yang dibimbing bekas pemain tengah Terengganu, Tengku Alias Tengku Ibrahim menukar rentak permainan, namun gagal menembusi kubu pelawat yang dikawal awang import, Lawrence Omomdi Olum.

Usaha tuan rumah mencari gol penyamaan gagal apabila kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Kedah mara ke pusingan seterusnya.

Monday, 16 February 2015

SEDAR DIRI PEMAIN MUDA

Dato' Othman Aziz (Naib Presiden KFA)
Kuala Lumpur: “Saya nasihatkan pemain muda supaya sedar dan insaf kerana tanpa pembabitan pasukan negeri, mereka tidak akan ke mana,” tegas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Othman Aziz yang mahu pemain Harimau Muda mematuhi pindaan peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mewajibkan pemain yang tamat kontrak kembali ke negeri asal sekurang-kurangnya semusim.

Katanya, peraturan itu melindungi kepentingan pasukan negeri ‘kerdil’ yang mempunyai hak ke atas pemain hasil daripada pembangunan di peringkat akar umbi sebelum menyertai Harimau Muda.

“Saya melihat peraturan ini adil kepada pasukan negeri kerdil, kurang kemampuan dari segi wang ringgit. Hak pasukan negeri ke atas pemain itu kali ini lebih jelas dan tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya.

“Kita kena tahu, program di peringkat akar umbi di sekolah juga gabungan bersama pihak persatuan negeri. Sebelum mereka ke Sekolah Sukan Bukit Jalil atau sekolah sukan lain, siapa yang gilap bakat mereka?

“Tanpa latihan serta usaha pencari bakat di peringkat ini, mereka tidak akan mendapat perhatian pihak luar.

“Tidak wajar peranan di peringkat bawah ini tidak diiktiraf dan pemain perlu insaf, tanpa persatuan negeri, mereka tidak ke mana,” kata Othman ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Peraturan baru perpindahan pemain Harimau Muda yang diwajibkan kembali ke pasukan negeri asal minimum semusim mula berkuat kuasa musim ini oleh FAM selepas berlakunya kontroversi perebutan pemain antara beberapa pasukan negeri.

Jika sebelum ini badan induk itu merujuk kepada tempat lahir pemain sebagai pasukan negeri asal, kini definisi itu diubah dengan pasukan terakhir diwakili pemain itu sebelum menyertai Harimau Muda mempunyai hak sepenuhnya.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik langkah terbaru FAM itu, namun dalam laporan Arena Metro semalam, pemain dan bekas pemain Harimau Muda mahu hak memilih pasukan selepas tamat kontrak dengan FAM diberikan sepenuhnya kepada mereka.

Ini kerana mereka bimbang peluang untuk mengembangkan karier ke tahap lebih baik terjejas serta tidak mendapat tawaran gaji yang baik dari pasukan negeri asal.

“Sudah pasti ada klausa dalam menetapkan gaji minimum kepada pemain Harimau Muda. Contohnya jika gaji mereka sekarang RM3,000, pasukan negeri wajib untuk memberi tambahan 30 peratus kepada pemain itu.

“Ini hanya untuk tempoh semusim, jika pemain mahu pindah ke pasukan lain selepas itu, mereka boleh pergi, tiada halangan,” kata Othman.

Monday, 9 February 2015

HELANG MERAH KEKAL FOKUS

                                                

Alor Setar: Kemenangan besar skuad Helang Merah pada aksi pertama Liga Perdana tidak akan membuatkan pemain terlalu yakin berdepan Kuantan FA di Stadium Darul Makmur Jumaat ini.

Sebaliknya menurut penolong jurulatih, Nidzam Adha Yusoff pemain Kedah akan tetap fokus dan konsisten dalam aksi mereka nanti.

“Kemenangan 5-1 ke atas KL SPA Putra Jaya sememangnya mengejutkan saya kerana tidak sangka jumlah gol dijaringkan.

“Biarpun gembira dengan kemenangan pertama ini, saya berharap pemain kekal fokus menghadapi Kuantan FA, tambah lagi beraksi di gelanggang mereka sendiri,” katanya.

Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan belum dapat mengesahkan kecederaan tonggak pertahanan Bang Seung Hwan, tetapi berharap pemain Korea itu dapat diturunkan di Kuantan nanti.

“Keadaan Seung Hwan akan diketahui Khamis ini. Jika keadaan memaksa dia direhatkan lagi, Syazwan yang beraksi cemerlang menggantikannya akan diturunkan lagi.

“Saya cukup puas hati dengan prestasi serta komitmen pemain kerana menunaikan harapan kemenangan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe yang kini berada di Ghuangzhou, China, menjalani kursus kejurulatihan peringkat tertinggi.

“Bagaimanapun saya akan pastikan kelemahan jentera tengah diatasi selepas lawan berjaya menembusi bahagian ini untuk menekan pertahanan Kedah,” katanya.

Bercakap mengenai Kuantan FA, beliau berkata, pasukan itu akan cuba bangkit mencatat kemenangan di gelanggang sendiri selepas tewas 0-1 kepada Pulau Pinang pada perlawanan pertama.

“Mereka pasti akan memburu kemenangan dan saya percaya barisan Kedah akan menampilkan aksi lebih mantap nanti,” tegasnya

Oleh Bashah Zainol Abidin

Sunday, 8 February 2015

DUA GOL KEITH UNTUK KEDAH




PENYERANG Liberia berusia 20 tahun, Keith M Nah masih belum puas hati dengan prestasinya walaupun berjaya meledak dua gol untuk membantu Kedah menewaskan KL Spa Putrajaya FC 5-1 di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit pada minit ke-48 dan ke-50 meletakkan pemain muda bawah 21 tahun negaranya itu sebagai antara penyerang import yang mampu merebut sasaran kasut emas untuk Liga Perdana 2015.

Tiga lagi gol dijaringkan Mohd Hanif Dzahir pada minit ke-24, Baddrol Bakhtiar (m-61) dan Chidi Edeh (m-90).

Menurutnya, dia percaya saingan lebih sengit akan hadir selepas ini namun tiga mata yang diraih pada perlawanan pertama berjaya meletakkan Lang Merah pada tahap motivasi tinggi.

“Dua gol yang dijaringkan saya adalah untuk Kedah, hasil kerjasama satu pasukan dan paling penting adalah meraih tiga mata.

“Saya fikir ini adalah satu permulaan baik, ini bukan kerana individu tetapi kerana pasukan yang saya lihat ada kerjasama tinggi di dalamnya. Semoga kita akan lebih bersedia pada perlawanan akan datang,” katanya.

Katanya, dia masih mempelajari dan memahami tentang Liga Malaysia serta mahu terus memperbaiki diri sendiri demi memastikan prestasinya tidak turun.

Keith muncul penjaring terbanyak pada 2013 serta muncul kedua terbanyak pada 2014 bersama kelab Chin United di Liga Myanmar.

Pada persediaan pra-musim Liga Malaysia 2015 juga, pemain yang berperwatakan tenang ini sudah mula menunjukkan sentuhan apabila muncul penjaring terbanyak dengan meledakkan tujuh gol buat Lang Merah.

Berikut foto2 aksi Kedah V KL SPA, sumber foto Kredit FB: Arena Hijau Kuning













Saturday, 31 January 2015

KEDAH TERIMA RM10 JUTA




Langkawi: Skuad Kedah di bawah kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe perlu tampil lebih garang pada aksi Liga Malaysia musim ini bagi kembali bersaing dalam kancah Liga Super tahun depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berikutan itu kerajaan negeri akan memberi sokongan padu termasuk aspek kewangan bagi memastikan tumpuan pasukan terhadap kempen musim ini tidak terjejas.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta di samping turut mendapatkan beberapa penaja lain dalam usaha memastikan pasukan Kedah yang beraksi dalam Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia bebas daripada masalah.

“Sasaran musim ini meletakkan kembali Kedah dalam saingan Liga Super,” katanya yang juga Menteri Besar selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu skuad itu, malam kelmarin.

Selain kerajaan negeri selaku penaja utama, Mukhriz turut mengumumkan barisan penaja baru yang membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Kumpulan Naza, THB Management dan Warrix.

Majlis sama turut menyaksikan kembalinya pemain seperti Sabree Mat Abu, Solihin Kanasian Abdullah (K Soley) dan Ahmad Shakir Ali serta kekalnya tonggak pasukan Baddrol Bakhtiar dalam skuad itu.

Tiga pemain import yang pertama kali menyarung jersi skuad itu membabitkan Lawrence Omondi Olum dari Kenya, Seung Hwan Bang (Korea Selatan), Keith M Nah (Liberia) dan Chidi Edeh (Nigeria).

Skuad Helang Merah turut mengekalkan Khairul Helmi Johari yang lebih mesra dipanggil Kay On selaku ketua pasukan untuk tempoh dua tahun berturut-turut.