Dari kiri: Chidi Edeh, Lawrence Olum, Keith M Nah dan Bang Seung Hwan |
Empat pemain import bagi setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan akan dibenarkan untuk diturunkan serentak dalam setiap perlawanan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata FAM memutuskan perkara itu berdasarkan permintaan majoriti pasukan dalam liga berkenaan.
"Ini kali pertama kita benarkan empat pemain import diturunkan sekali gus (tiga pemain antarabangsa dan seorang pemain dari Asia). Sebelum ini hanya dibenarkan tiga pemain. Ini untuk menjadikan saingan Liga M lebih kompetetif.
"Pemain tempatan perlu berusaha lebih keras dan harus bersaing untuk mencari tempat dalam kesebelasan utama," kata Tengku Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas FAM kali kedua penggal 2014-2018, di sini hari ini.
Kempen Liga M akan bermula dengan Piala Sumbangsih melibatkan perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, Johor pada 31 Jan depan.
Tarikh awal perlawanan Piala Sumbangsih ialah pada 16 Jan, namun diubah ke 31 Jan, berikutan beberapa perkara berkaitan persiapan musim baharu belum selesai sepenuhnya.
"Tarikh ini diubah sebab ada beberapa perkara masih tidak selesai termasuk soal penajaan Liga M. FAM kini di peringkat akhir dan perkara-perkara tersebut dijangka selesai sebelum tahun depan," kata Tengku Abdullah
No comments:
Post a Comment