LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Monday 16 February 2015

SEDAR DIRI PEMAIN MUDA

Dato' Othman Aziz (Naib Presiden KFA)
Kuala Lumpur: “Saya nasihatkan pemain muda supaya sedar dan insaf kerana tanpa pembabitan pasukan negeri, mereka tidak akan ke mana,” tegas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Othman Aziz yang mahu pemain Harimau Muda mematuhi pindaan peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mewajibkan pemain yang tamat kontrak kembali ke negeri asal sekurang-kurangnya semusim.

Katanya, peraturan itu melindungi kepentingan pasukan negeri ‘kerdil’ yang mempunyai hak ke atas pemain hasil daripada pembangunan di peringkat akar umbi sebelum menyertai Harimau Muda.

“Saya melihat peraturan ini adil kepada pasukan negeri kerdil, kurang kemampuan dari segi wang ringgit. Hak pasukan negeri ke atas pemain itu kali ini lebih jelas dan tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya.

“Kita kena tahu, program di peringkat akar umbi di sekolah juga gabungan bersama pihak persatuan negeri. Sebelum mereka ke Sekolah Sukan Bukit Jalil atau sekolah sukan lain, siapa yang gilap bakat mereka?

“Tanpa latihan serta usaha pencari bakat di peringkat ini, mereka tidak akan mendapat perhatian pihak luar.

“Tidak wajar peranan di peringkat bawah ini tidak diiktiraf dan pemain perlu insaf, tanpa persatuan negeri, mereka tidak ke mana,” kata Othman ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Peraturan baru perpindahan pemain Harimau Muda yang diwajibkan kembali ke pasukan negeri asal minimum semusim mula berkuat kuasa musim ini oleh FAM selepas berlakunya kontroversi perebutan pemain antara beberapa pasukan negeri.

Jika sebelum ini badan induk itu merujuk kepada tempat lahir pemain sebagai pasukan negeri asal, kini definisi itu diubah dengan pasukan terakhir diwakili pemain itu sebelum menyertai Harimau Muda mempunyai hak sepenuhnya.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik langkah terbaru FAM itu, namun dalam laporan Arena Metro semalam, pemain dan bekas pemain Harimau Muda mahu hak memilih pasukan selepas tamat kontrak dengan FAM diberikan sepenuhnya kepada mereka.

Ini kerana mereka bimbang peluang untuk mengembangkan karier ke tahap lebih baik terjejas serta tidak mendapat tawaran gaji yang baik dari pasukan negeri asal.

“Sudah pasti ada klausa dalam menetapkan gaji minimum kepada pemain Harimau Muda. Contohnya jika gaji mereka sekarang RM3,000, pasukan negeri wajib untuk memberi tambahan 30 peratus kepada pemain itu.

“Ini hanya untuk tempoh semusim, jika pemain mahu pindah ke pasukan lain selepas itu, mereka boleh pergi, tiada halangan,” kata Othman.

No comments:

Post a Comment