LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Friday 28 November 2014

AFF SUZUKI CUP 2014 : MISI WAJIB MENANG HARIMAU MALAYA KE ATAS SINGAPURA





SINGAPURA, 27 Nov- Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh mengingatkan pemain supaya kekal fokus bagi memburu kemenangan ke atas Singapura pada aksi terakhir kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, Sabtu ini.

Jurulatih itu mengakui mereka kini berada di jalan sehala dan hanya kemenangan sahaja akan menjamin tempat ke peringkat separuh akhir edisi ke-10 kejohanan bola sepak rantau Asia Tenggara itu.

"Kita kena fokus 90 minit. Walaupun kita main baik, tapi kalau keputusan mengecewakan, tidak berguna juga. Saya harap para pemain dapat mencari kemenangan bagi pastikan kita layak ke separuh akhir," kata Dollah ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad itu di Stadium Bishan, di sini, Khamis.
        JURULATIH HARIMAU MALAYA: DOLLAH SALLEH
Dalam pada itu, Dollah mengingatkan skuad kendaliannya supaya tidak memandang rendah keupayaan negara Seberang Tambak itu yang sah kehilangan tiga tonggak utama pada aksi Sabtu ini.

Mereka adalah perancang tengah, Shahdan Sulaiman yang retak buku lali pada aksi kedua menentang Myanmar di Stadium Nasional, Rabu yang menyaksikan mereka menang 4-2.

Pemain sayap kanan, Ismadi Mukhtar pula mengalami kecederaan pangkal paha manakala pemain pertahanan, Baihakki Khaizan digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

Dalam pada itu, Dollah nyata terkilan selepas mereka tidak dibenarkan menjalani sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Jumaat sebelum berhadapan Singapura.

                     


Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada saat-saat akhir bahawa pemilik stadium, Singapore Sports Hub hanya membenarkan stadium berkenaan digunakan pada hari perlawanan bagi menjaga kualiti padang rumputnya.

"Kita kena terima keputusan ini cuma saya kurang berpuas hati kerana pemain saya tidak dapat mencuba padang di Stadium Nasional," jelas Dollah.

Berkongsi pandangan sama adalah penyerang veteran negara, Mohd Safee Mohd Sali yang menyifatkan pasukan Singapura mempunyai barisan pemain pengganti yang lengkap walaupun ketiadaan khidmat tiga pemain utama mereka.

Penyerang kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut menyeru rakan sepasukan supaya melupakan kekalahan tipis kepada Thailand, Rabu dan kekal fokus sepenuhnya menentang Singapura nanti.



       

"Saya masih yakin kita mampu mara ke peringkat seterusnya dengan corak permainan yang ditunjukkan amat baik. Dari situ, kita akan bertambah yakin dan kita lihat Singapura tidak sekuat dulu.

"Saya akan terus menggandakan usaha di jentera serangan dan saya harap rakan sepasukan beri bantuan kepada saya untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu nanti," jelas Mohd Safee yang menyifatkan pertemuan dua negara berkenaan merupakan satu perlawanan penuh bersejarah.

Malaysia tidak mempunyai pilihan lain selain menundukkan Singapura sekiranya berhasrat meneruskan perjuangan mereka pada kejohanan ini.

Singapura pula hanya memerlukan keputusan seri untuk mengiringi Thailand yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas meraih dua kemenangan.

Thailand mengalahkan Singapura 2-1 pada aksi pembukaan, Ahad lepas di Stadium Nasional sebelum menundukkan Malaysia 3-2 pada aksi penuh dramatik di Stadium Jalan Besar, Rabu.

Sumber-- BERNAMA


1 comment:

  1. Memang kena menang...Kena setkan dalam minda pemain...

    http://lee5201.blogspot.com
    http://toneexcelwow.org/roslimdyusof2

    ReplyDelete