LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Sunday 30 November 2014

Harimau Malaya melangkah ke Separuh Akhir Piala AFF Suzuki 2014

        Malaysia berjaya menempah slot separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 selepas mengalahkan jiran mereka, Singapura 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional di Singapore Sports Hub, Sabtu malam.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh mengiringi Thailand pada peringkat separuh akhir yang bakal diadakan awal Disember ini.

Thailand sudah mengesahkan kemaraan lebih awal selepas meraih dua kemenangan awal ke atas Malaysia dan Singapura, sebelum ini.

Pada aksi Sabtu malam, kedua-dua pasukan bermula agak perlahan sebaik sahaja pengadil dari Oman, Al Kaf Ahmed Abu Bakar Said meniupkan wisel perlawanan.

Skuad Harimau Malaya berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-42, namun percubaan penyerang, Mohd Safee Mohd Sali sekadar singgah di palang gol Singapura ketika penjaga gol tuan rumah, Hassan Abdullah Sunny sudah tertewas.

Kedua-dua pasukan terus melakukan asakan ke kubu lawan namun buntu untuk menemui sentuhan jaringan dan keputusan itu kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad negara kembali menggandakan asakan bagi memburu jaringan dan usaha mereka nyata berhasil apabila penyerang veteran negara, Mohd Safee menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-61 menerusi rembatan kencang.

Jaringan tersebut ternyata memberikan keceriaan kepada hampir 1,000 penyokong skuad Harimau Malaya yang hadir.

Tersentak dengan gol tersebut, Singapura yang merupakan juara bertahan kembali memperkemaskan permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi penyerang, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal yang menolak masuk bola ke gawang Malaysia selepas berlaku kekalutan di depan pintu gol.

Skuad Harimau Malaya nyata tidak mudah mengalah dan berjaya mendahului pada minit ke-91 hasil sepakan penalti perancang tengah, Safiq Rahim selepas pemain negara, Mohd Amri Yahyah dijatuhkan oleh pertahanan Singapura di dalam kotak penalti.

Pemain gantian, Indra Putra Mahayuddin memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Malaysia selepas meledak jaringan kemenangan, selang tiga minit kemudian.

Dalam satu lagi aksi kumpulan B, Thailand mengekalkan rekod bersih selepas membenam Myanmar 2-0 di Stadium Jalan Besar.

Dua gol skuad 'Gajah Perang' dijaringkan oleh Tanaboon Kesarat pada minit ke-12 dan Prakit Deeporm pada minit ke-83.

Pada peringkat separuh akhir nanti, Malaysia akan bertemu juara kumpulan A, Vietnam manakala Thailand yang merupakan juara tiga kali bakal membuat perhitungan dengan naib juara kumpulan A, Filipina.

Perlawanan separuh akhir akan dijalankan mengikut format timbal balik, iaitu separuh akhir pertama pada 6 dan 7 Dis, manakala separuh akhir kedua pada 10 dan 11 Dis.

Sementara itu dalam laman Twitter terbaharunya Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pasukan Harimau Malaya di atas kejayaan mereka itu.

"Tahniah Harimau Malaya berjaya tundukkan Singapura 3-1. Kita mara ke separuh akhir! #AFFSuzukiCup," kata Perdana Menteri.- BERNAMA








No comments:

Post a Comment