LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Thursday 11 December 2014

MALAYSIA LAYAK KE FINAL PIALA AFF



Hanoi: Empat gol pada babak pertama membolehkan Harimau Malaya mencipta kebangkitan terhebat dalam Piala AFF 2014 apabila menewaskan Vietnam 4-2 pada aksi separuh akhir kedua sekali gus menempah tempat ke final bertemu Thailand dengan agregat 5-4.

Ketika ramai yang meragui kemampuan skuad kendalian Dollah Salleh untuk menghapuskan badi di Stadium Nasional My Dinh selepas kekalahan 1-2 pada pertembungan pertama di Shah Alam Ahad lalu, namun mereka bangkit melenyapkan segala kritikan.

Beraksi di depan 40,000 penyokong tuan rumah dalam cuaca sejuk dengan suhu 17 darjah selsius tidak menjejaskan permainan Harimau Malaya yang memulakan asakan awal.

Dollah melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utamanya termasuk memasukkan pemain tengah Mohd Badhri Radzi dan penjaga gol Mohd Farizal Marlias yang tidak pernah beraksi sebelum ini.

Gol awal yang amat dicari anak buah Dollah untuk memadam defisit kekalahan 1-2 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam Ahad lalu hadir apabila pemain veteran Indra Putra Mahayuddin yang menggantikan Mohd Safee Sali dikasari dalam kotak penalti.

Pemain tengah Safiq Rahim tenang meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-4 meskipun pengadil dari Jepun Masaaki Toma mengarahkannya mengambil semula sepakan penalti buat kali kedua untuk gol keempat sepanjang kejohanan ini.

                            

Harimau Malaya terus garang kali ini giliran penyerang Norshahrul Idlan Talaha menghukum pertahanan tuan rumah dengan lambungan bola ke gawang ketika penjaga gol Tran Nguyen Manh menerpa keluar di minit ke-15.

Ia gol pertama Norshahrul di pentas antarabangsa sejak Oktober tahun lalu.

Namun Vietnam juara 2008 yang dibimbing jurulatih Jepun Toshiya Miura merapatkan kedudukan di minit ke-23 hasil sepakan penalti kapten Le Cong Vinh.

Gol itu menjadikan kedudukan agregat 3-3 dan memberi kelebihan buat Vietnam bagaimanapun Malaysia mengganas dengan dua lagi gol menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Dinh Tien Thanh pada minit ke-29 sebelum kapten Shukor Adan yang kembali bersama pasukan kebangsaan selepas enam tahun meledak gol keempat.

Separuh masa kedua Harimau Malaya lebih banyak bertahan dan membenarkan pasukan tuan rumah mengasak sehingga berjaya mendapat gol kedua sekali lagi menerusi penyerang Cong Vinh pada minit ke-78.

Malaysia berjaya bertahan dalam baki permainan untuk mara ke final buat kali ketiga selepas muncul naib juara 1996 dan juara 2010 bertemu Thailand di Bangkok pada 17 Disember dan Shah Alam 20 Disember.

                                                 JADUAL PERLAWANAN AKHIR 1 & 2



No comments:

Post a Comment