LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Saturday 31 January 2015

CHENG HOE GUSAR

BERAKHIR 13 Perlawanan persahabatan yang diatur sejak dua bulan lalu memberi keyakinan kepada ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe bahawa pasukannya sudah bersedia untuk mencabar Liga Premier musim bagi merebut slot Liga Super 2016.

Bagaimanapun jumlah bolos yang besar (19 gol ) tetap jadi kerisauan pengendali itu walaupun Kedah berjaya menjaringkan 30 gol dan beliau akan menggunakan tempoh masa yang ada untuk memberi perhatian kepada kerapuhan benteng Lang Merah.

Boleh dikatakan setiap perlawanan pramusim Kedah bolos mencerminkan bahawa masalah ini bagaikan berulang saban musim dan sesuatu perlu dilakukan terutamanya membabitkan pemain di bahagian pertahanan dan penjaga gol.

Petanda positif
Namun kemenangan mengatasi pasukan Liga Super Kelantan 3-1 dengan percubaan meletakkan pemain import Korea Selatan, Bang Seung Hwan bergandingan dengan ketua pasukan, Khairul Helmi Johari di pertahanan tengah dilihat positif.

Manakala prestasi dua lagi pertahanan iaitu P Rajes dan Sabree Abu turut menyakinkan malah kepantasan dimiliki mereka juga berjaya membantu bahagian serangan apabila serangan balas dilakukan ke kubu lawan.

“Pada perlawanan menentang Kelantan, kita tetap bolos walaupun menang dan kami akan cuba perbaiki dalam tempoh yang ada ini sebelum saingan Liga Premier membuka tirai 6 Februari nanti.

“Saya tetap positif dengan setiap pemain malah mereka mempamerkan peningkatan sejak berlatih bersama-sama sejak dua bulan lalu,” kata Cheng Hoe.

Kian bernafsu
Di bahagian serangan pula, dua penyerang import iaitu Keith M Nah berjaya merekodkan tujuh gol manakala Chidi Edeh meledakkan lima gol bagi aksi persahabatan untuk menggambarkan bahawa bahagian hadapan Lang Merah semakin tajam.

Manakala seorang lagi import, Lawrence Olum yang diuji di posisi tengah mempamerkan karakter berbeza dan bebas merencanakan taktikal bersama perancang muda, Hanif Dzahir berbanding peranannya sebagai pertahanan tengah sebelum ini.

Posisi Olum yang berada di tengah menyaksikan bekas ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar kembali memperoleh posisi kegemarannya iaitu sebagai pemain sayap manakala satu lagi posisi sayap diisi pemain muda Muhamad Farhan Roslan.

Turun naik

Bagaimanapun, Cheng Hoe berkata posisi setiap pemain akan berubah-rubah dan bergantung kepada prestasi semasa latihan dan juga perlawanan sebenar.

Menurutnya, tiada istilah pemain bintang di dalam skuadnya, semua pemain adalah sama dan hanya yang betul-betul bersedia dan menunjukkan disiplin tinggi sahaja disenaraikan di dalam kesebelasan utama.

“Walaupun seseorang pemain itu berjaya menjaringkan hatrik sekalipun jika pasukan tewas 4-3 tidak ada gunanya. Paling penting adalah kejayaan pasukan bukan individu,” katanya.

No comments:

Post a Comment