LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Thursday 8 January 2015

Kedah Akui Berdepan Tugas Sukar



PENGENDALI Kedah, Tan Cheng Hoe mengakui skuad bimbingannya bakal berdepan cabaran besar dalam saingan Liga Premier musim ini. sekali gus menyukarkan impian mereka untuk kembali ke Liga Super pada musim 2016.

Justeru, bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya itu menuntut semua pemain Helang Merah agar memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum bermulanya aksi pertama Liga Premier musim ini menentang KL SPA pada 6 Februari depan.

Setakat ini Cheng Hoe masih belum berpuas hati dengan prestasi skuad kendaliannya itu biarpun telah mencatatkan lima kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam tujuh aksi pra-musim yang mereka harungi sebelum ini.

Lima kemenangan itu hadir ketika menewaskan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) 3-2; Songkhla United 3-2; Perak 2-1; Kedah United 5-0 dan terbaharu menang 3-0 ke atas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada Isnin lalu sementara seri 1-1 dengan Perak dan tewas 1-2 kepada Sungai Ara FC.

“Semua orang sudah bercakap-cakap mengenai peluang kami untuk layak ke Liga Super, itu adalah cabaran dalam bola sepak kerana ia bukanlah perkara senang dan kami tidak boleh memberi jaminan. Apa yang saya harapkan ialah kami dapat mengutip tiga mata maksimum pada setiap perlawanan yang bakal diharungi nanti.

“Setiap pasukan ada kekuatan dan kelemahan tetapi saya akan terus bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan.

“Ada banyak peningkatan dalam pasukan terutamanya persefahaman antara pemain import dan tempatan. Khairul Helmi (Johari) memainkan peranan baik sebagai ketua pasukan dan rentak permainan Baddrol (Bakhtiar) juga semakin matang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe turut memuji impak bintang import dari Liberia, Keith M Nah dan pemain sayap lincah, Muhammad Farhan Roslan yang tampil dengan aksi bertenaga sepanjang kempen pra-musim baru-baru ini.

“Dia (Farhan) masih muda, rajin dan komited dalam setiap perlawanan. Saya suka sikapnya yang sentiasa mahu menjaringkan gol. Saya harap dia boleh mengekalkan prestasinya dalam kempen liga sepanjang musim ini.

“Prestasi Farhan semakin meningkat dan satu petanda baik buat Kedah.”


No comments:

Post a Comment