LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Saturday 24 January 2015

CHENG HOE TIDAK PANIK





Alor Setar: “Saya tidak panik ataupun gusar walaupun Kedah tewas 4-1 di tangan Sime Darby FC pada perlawanan semalam (kelmarin) kerana saya yakin kemampuan dan keupayaan sebenar barisan pemain saya,” kata ketua jurulatih Helang Merah Tan Cheng Hoe.

Menurutnya, perlawanan itu tidak dikuasai sepenuhnya Sime Darby, malah anak buahnya turut mencipta banyak peluang menjaringkan gol cuma ketumpulan barisan serangan mengakibatkan mereka terpaksa berputih mata.

“Pemain sebenarnya keletihan kerana sehari sebelum bertemu Sime Darby FC, kami menentang Harimau Muda di Padang FAM, Kelana Jaya. Bagaimanapun, saya tetap gembira apabila Chidi Edeh tetap berjaya merobek gawang Sime Darby.

“Kita terlepas peluang menghasilkan gol pada babak pertama apabila tendangan penalti diambil Baddrul Bakhtiar melewati palang dan siapa yang menyaksikan perlawanan itu pasti dapat menilai kemampuan sebenar Kedah.

“Saya rasa Chidi yang baru pulang dari Kenya belum memulihkan tahap kecergasan selepas hanya menjalani latihan empat hari sebelum kami bertolak ke Kuala Lumpur dan dia pasti dapat beraksi dengan kemampuan sebenar ketika Liga Perdana bermula, 5 Februari,” katanya.

Beliau berkata, hanya tinggal satu perlawanan ujian, menentang Kelantan pada 26 Januari dan ia peluang terakhir buat anak buahnya membuktikan keupayaan, sekali gus disenaraikan dalam kesebelasan utama Helang Merah.

Kedah akan menyingkap tirai Liga Perdana 2015 dengan menentang SPA KL di Stadium Darulaman, 6 Februari.

“Perebutan tempat dalam kesebelasan utama memang sengit kerana barisan pemain muda sudah mula menampakkan peningkatan.

“Pemain muda seperti Muhammad Farhan Roslan, Syazwan Tajuddin, Mohd Rizal Ghazali, Syazwan Abdullah, Muhd Syafiq Ahmad dan Mohd Hanif Mat Zahir sudah mula menampakkan peningkatan dan kini berada dalam kesebelasan utama ketika beberapa perlawanan ujian lalu.

“Tidak ada pemain boleh menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama walaupun mungkin mempunyai nama besar atau sudah lama beraksi bersama Kedah. Saya hanya akan memberi laluan buat pemain yang benar-benar layak,” katanya.

Cheng Hoe bersama penolong Ian Gillan serta Nidzam Adzha Yusoff sudah mengenal pasti kemampuan dan keupayaan semua 23 pemain yang sudah didaftarkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pemain Kedah musim 2015.

No comments:

Post a Comment