LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Monday 19 January 2015

PIALA PRESIDEN KEDAH ATUR PERSEDIAAN RAPI

SKUAD PIALA PRESIDEN KEDAH 2015

PASUKAN Piala Presiden Kedah melaungkan amaran awal kepada pencabar-pencabar dalam saingan Liga Presiden bahawa mereka hadir dengan persiapan cukup rapi pada saingan musim ini.

Tidak sekadar bercakap kosong semata-mata, pengurus pasukan, Anas Hafiz Mustaffa mengakui persiapan pra-musim 2015 mereka dilihat lebih teratur berbanding musim lalu malah kemasukan beberapa pemain baru turut meyakinkan.

Meletakkan sasaran untuk meraih trofi, keupayaan pelapis muda Lang Merah ini akan lebih terserlah selepas rata-rata pemain mempunyai kemahiran dan kualiti yang hampir sama.

Kriteria ketat

Jelas Anas Hafiz, mereka meletakkan kriteria yang cukup ketat pada sesi pemilihan lalu dan saiz badan serta kemahiran individu tinggi menjadi faktor utama kali ini.

“Kami kena kerja lebih keras kerana empat pemain utama iaitu Syafiq Ahmad, Syazwan Tajudin, Farhan Roslan, Hanif Dzahir kini mewakili pasukan senior Kedah. Kita perlu cari pemain yang mempunyai kualiti yang setara dengan mereka dan Alhamdulilah penggantinya dapat dicari.

“Tahun ini kalau boleh kami cuba usaha bawa balik satu piala ke Alor Setar sama ada dari pasukan Piala Presiden ataupun Piala Belia,” katanya kepada Ultras Sinar.

KFA ketengah bakat muda

Berjaya menjalinkan kerjasama dengan kelab Perth Glory, Australia dan kelab Songkla United, Thailand, mereka terus mengorak langkah dengan menghantar empat lagi pemain muda ke kelab bola sepak Liga Inggeris, Cardiff City di Wales.

Anas Hafiz berkata, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan terus mengetengahkan bakat-bakat muda dengan pendedahan di peringkat antarabangsa malah usaha untuk mengadakan kerjasama dengan kelab lain dan kini perkara tersebut berada dalam perancangan.

“Kami bukan sahaja menghantar pemain tetapi turut memberi ruang kepada jurulatih kita untuk terus mempelajari ilmu bola sepak di luar negara dan penolong jurulatih Piala Presiden Kedah, Victor Andrag akan bersama empat pemain ini selama sebulan di Cardiff City,”
katanya.

Pasukan kendalian bekas pertahanan Kedah, Mohamad Ramlee ini pada musim lalu berjaya mara ke peringkat suku akhir walaupun menggunakan kudrat pemain simpanan selepas beberapa pemain utama mereka dipanggil untuk memperkuatkan pasukan utama bagi
mengharungi kempen Liga Premier 2014.

No comments:

Post a Comment