LIKE KEDAH FC FAN PAGE

Sponsored Post

Saturday 17 January 2015

GARY DIGANTUNG TIGA BULAN,DENDA RM50,000





KEMELUT perebutan tiga penjuru bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat, yang melibatkan pasukan Kedah, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang berakhir selepas pemain berusia 22 tahun itu digantung tiga bulan dan denda RM50,000.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan bahawa pemain berasal dari Kulim, Kedah itu bersalah kerana melanggar peraturan FAM mengenai perpindahan pemain.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Gary didapati bersalah kerana menandatangani kontrak secara tidak sah bersama JDT pada 21 November 2014 sebelum menerima surat pelepasan daripada FAM terlebih dahulu yang dikeluarkan pada 1 Disember 2014.

"Mulai hari ini Gary tidak dibenarkan menyertai sebarang kejohanan dalam saingan Liga Malaysia dan semua kontrak bersama pasukan JDT dan Pahang yang telah ditandatanganinya sebelum ini terbatal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM dekat sini.

Beliau berkata, FAM juga memutuskan bahawa Gary tidak terikat kepada mana-mana pasukan dan beliau diberikan status 'Ejen Bebas' walaupun pemain tengah itu berasal dari Kedah.

Menjelaskan perkara tersebut, Takiyuddin berkata mengikut ketetapan FAM sebelum ini bekas pemain Harimau Muda perlu kembali kepada pasukan asal mereka.

"Kami terpaksa mengambil masa yang lama dalam menentukan status Gary namun setelah membuat penelitian berdasarkan peraturan FAM, Gary bukan milik pasukan Kedah sebaliknya milik Harimau Muda C dan perlu dikembalikan kepada pasukan tersebut," katanya.

Beliau berkata, sebarang rundingan daripada mana-mana pasukan untuk mendapatkan Gary hanya boleh dilakukan selepas tamat tempoh penggantungan selama tiga bulan yang berkuat kuasa hari ini.

Selain Gary, Takiyuddin berkata, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) juga dikenakan denda RM100,000 kerana kecuaian dalam urusan perpindahan pemain namun pasukan Pahang hanya diberikan amaran.

Di samping Gary, PNBJ turut diberi amaran keras kerana telah menimbulkan kecuaian pendaftaran pemain Mohd Faizul Hussin yang tidak wajar berlaku kerana pemain itu masih terikat kontrak dengan Pahang.

"Dalam kesalahan ini sebagai ganti rugi, Mohd Faizul perlu membayar tebus kontrak mengikut gaji bulanannya sebanyak RM10,000 selama 12 bulan (RM120,000) kepada bekas majikannya iaitu pasukan Pahang.

"Memandangkan Mohd Faizul telah dibayar gaji sebanyak RM10,000 pada bulan Disember maka beliau perlu kembalikan bayaran gaji tersebut kepada majikannya...jadi jumlah keseluruhan yang harus dilunaskan kepada Pahang ialah RM130,000," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment